BERNAMA

Tokyo: Puteri Jepun Mako berkahwin dengan orang biasa Kei Komuro, yang bekerja di firma guaman di New York, hariu ini, dan akan meninggalkan keluarga diraja, lapor Jiji Press.

Puteri sulung Putera Mahkota Akishino dan Puteri Mahkota Kiko serta Komuro akan menyerahkan pendaftaran perkahwinan itu ke pejabat perbandaran pagi hari ini melalui Agensi Rumah Tangga Diraja.

Pada sebelah petang, Puteri Mako, 30, anak saudara Maharaja Naruhito, akan mengadakan sidang media sebagai orang biasa dengan Komuro, 30, di sebuah hotel di Tokyo.

Di bawah peruntukan undang-undang diraja, wanita dalam kalangan keluarga diraja akan kehilangan status keluarga apabila berkahwin dengan rakyat biasa.

Berdasarkan keputusan Maharaja Naruhito dan Putera Mahkota Akishino, upacara dan ritual berkaitan perkahwinan tidak akan diadakan untuk Puteri Mako dan Komuro berdasarkan pelbagai pendapat umum mengenai perkahwinan mereka, termasuk isu kewangan antara ibu Komuro dan bekas tunangnya.

Ini adalah kali pertama sejak berakhirnya Perang Dunia II tiada acara sebegitu untuk perkahwinan ahli keluarga diraja membabitkan wanita.

Selain itu, Puteri Mako tidak akan menerima elaun perkahwinan berdasarkan kehendaknya sendiri, menjadi ahli keluarga wanita pertama yang tidak diberi wang sedemikian apabila berkahwin.

Semalam, Puteri Mako melawat datuk serta neneknya, Maharaja Emeritus Akihito dan Maharani Emerita Michiko di kediaman mereka di Wad Minato Tokyo dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.

Itulah kali pertama dia bertemu dengan datuk dan neneknya sejak Mac tahun lalu.

Puteri Mako dan Komuro bertemu buat kali pertama ketika mereka pelajar di Universiti Kristian Antarabangsa dan bertunang secara tidak rasmi pada September 2017 selepas bercinta selama kira-kira lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 11:43 AM