FUMIO Kishida. FOTO AFP
FUMIO Kishida. FOTO AFP
BERNAMA

Tokyo: Pilihan raya umum Jepun bakal diadakan pada 31 Oktober selepas Parlimen negara ini dibubarkan pada Khamis, lapor Agensi Berita Xinhua.

Penggal empat tahun Ahli Parlimen Dewan Rakyat, tamat pada 21 Oktober.

Dalam era selepas perang, buat kali pertama pilihan raya umum Jepun diadakan selepas tempoh penggal berakhir.

Tempoh masa antara pembubaran Parlimen dan hari pengundian juga adalah yang paling singkat.

Pada 29 September lepas, Fumio Kishida memenangi pemilihan presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) dan dipilih menjadi perdana menteri baharu pada 4 Oktober.

Kishida mahu mendapatkan lebih banyak sokongan daripada rakyat pada pilihan raya umum kali ini menerusi dasarnya untuk memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik dan memperkasa tindak balas Covid-19.

Beliau berkata, pakej ekonomi bernilai puluhan trilion yen sedang disiapkan untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat Covid-19.

Dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri, Kishida berikrar, untuk mencapai pertumbuhan ekonomi negara dan mengagihkan semula hasil kejayaan itu untuk mewujudkan kelas pertengahan yang lebih kuat.

Namun, baru-baru ini beliau menegaskan Jepun perlu merealisasikan pertumbuhan ekonomi terlebih dahulu sebelum mengagihkan semula kekayaan.

Menurut tinjauan Kyodo News, rating sokongan terhadap Kabinet Kishida sebanyak 55.7 peratus.

Ikrar Kishida untuk mengurangkan jurang kekayaan agak diragui selepas beliau menyatakan untuk menangguhkan rancangannya mempertimbangkan menaikkan kadar cukai keuntungan modal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 2:48 PM