GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Sydney: Selepas beberapa minggu tidak makan, seorang wanita warga emas nekad terpaksa menulis surat kepada rakannya untuk meminta wang bagi membeli makanan.

Kejadian itu disedari komuniti setempat di Sydney selepas wanita yang tinggal sendirian itu meminta 10 Pound Sterling (kira-kira RM57) menerusi sepucuk surat.

Daily Star melaporkan seorang ahli kumpulan Facebook di kawasan Cremorne dan Neutral Bay di Sydney berkata, dia mendapat tahu bahawa warga emas itu tidak makan sejak sembilan minggu lalu sementara kawasan kejiranan itu dikenakan perintah berkurung.

Selepas mendapat wang, dia kemudiannya ke pasar raya dengan dibantu seorang sukarelawan tempatan yang menyedari diri wanita itu dalam kesusahan.

Aktivis sosial yang berkongsi kisah itu di media sosial menggesa penduduk tempatan agar lebih peka dengan keadaan jiran sekeliling serta saudara mara yang terkesan dan memerlukan bantuan.

"Saya ingin berkongsi cerita mengenai seorang wanita di Cremorne yang tinggal sendirian dan tidak makan kerana dia tidak dapat keluar atau tidak tahu bagaimana ingin mendapatkan makanan ketika perintah berkurung," kata sukarelawan itu di Facebook.

Dia turut meminta masyarakat, supaya mengawasi orang tua dan mereka yang tinggal bersendirian pada masa sukar ini.

"Sekiranya mereka berdepan kesukaran, maklumkan kepada kami supaya dapat menguruskan bantuan kepada mereka. Ini termasuk kepada mereka yang hilang pekerjaan

"Kami menghantar makanan ke kawasan barat dan pedalaman, kami juga dapat membantu di tempat sendiri. Tolong peka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:45 AM