URGONSKI dan saman parkir pada 1978.
URGONSKI dan saman parkir pada 1978.
Agensi

BOSTON: Tak tahan diselubungi perasaan bersalah, seorang lelaki di Amerika Syarikat membuat keputusan untuk membayar saman parkir, 42 tahun lalu.

Gary Urgonski, 72, menemui kembali saman yang masih belum dijelaskan itu ketika membersihkan laci di dapur rumahnya.

Katanya, perasaan bersalah timbul apabila dia menyedari perbuatannya itu salah.

"Saya beritahu isteri saya, saya hendak bayar saman ini dan hantar surat kepada pihak berkenaan (Jabatan Polis York)," katanya yang menetap di Massachusetts.

Menurut pesara guru itu, dia menyimpan tiket itu di tempat yang mudah dilihatnya dengan kerap, namun lama-kelamaan dia terlupa.

"Saya simpannya bermakna ada kemungkinan saya mahu membayarnya. Saya jadikannya ia sebagai penanda buku," katanya.

Dia menulis cek AS$4 (RM17) untuk menjelaskan bayaran asal AS$3 (RM12.80) serta tambahan caj lewat AS$1 (RM4.28) kerana kegagalan membayar saman itu dalam tempoh 48 jam.

Mengimbau kembali peristiwa lalu, Urgonski memandu ke persisiran pantai Maine yang menjadi pusat tarikan pelancong pada 28 Julai 1978.

Dia memberhentikan keretanya di pakir sebelum meluangkan cuti hujung minggunya di situ.

Selepas kembali ke kenderaannya, dia mendapati ada saman pada kenderaannya.

Urgonski yang ketika itu berusia 30 tahun berpandangan saman itu bukan masalah besar kerana dia tidak menetap di Maine, sebelum menyimpan tiket itu.

Sementara itu, Polis York Leftenan John Lizanecz berkata, pihaknya menganggap kejadian itu melucukan dan tidak pernah berlaku sepanjang kerjayanya.

Bagaimanapun, pihaknya akan membingkaikan kiriman cek itu.

"Kami tidak akan menunaikan cek diberikan itu kerana ia tidak selari dalam sistem yang kami gunakan sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 6:30 AM