GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Jakarta: Bukan Indonesia saja yang diserang varian Delta Covid-19 kerana ia turut menjejaskan beberapa negara lain.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan (Marves) negara itu, Luhut Binsar Pandjaitan berkata, varian Delta menyebabkan kenaikan mendadak luar biasa kes positif Covid-19.

Katanya, selain Indonesia, negara lain yang mengalami kenaikan kes kerana varian Delta adalah Amerika Syarikat (AS), Belanda, Malaysia, Rusia, Thailand dan Israel.

"Jangan hanya melihat Indonesia saja yang terjejas kerana banyak lagi negara seperti Amerika Syarikat dan Belanda turut terjejas.

"Semua negara yang terjejas menyebabkan jumlah kes positif naik dengan mendadak," katanya dalam Detik.com.

Luhut berkata, kenaikan kes mendadak varian Delta bermula 24 Jun hingga 13 Julai lalu.

Katanya, masyarakat perlu sedar varian Delta sukar dikawal dan berharap tiada berita yang boleh mengundang keresahan dibuat mana-mana pihak.

"Saya mahu masyarakat faham varian Delta ini sesuatu yang tidak dapat dikendalikan.

"Jadi diharap tiada pihak yang cuba mempolemikkan isu ini kerana apa yang penting adalah menyelamatkan nyawa.

"Jangan kita menyebarkan khabar angin yang membuat lebih ramai yang tertekan," katanya.

Luhut berkata, varian Delta ini mampu menular enam kali ganda lebih cepat daripada varian Alpha.

Katanya, kerajaan juga sudah bersedia berdepan dengan penularan varian Delta dan mempunyai pelan mengawal virus ini.

"Kerajaan menggunakan segala sumber yang ada untuk memastikan penularan varian ini dapat dikawal," katanya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan pada Jumaat, Indonesia mencatat 54,000 kes baharu harian sementara Malaysia (12,541), Thailand (9,692), Myanmar (6,194), Filipina (5,676) dan Vietnam (3,336).

Semua negara, kecuali Singapura dan Brunei, menyaksikan peningkatan jumlah kes baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 6:50 AM