KEADAAN kebakaran kilang plastik di Bangkok, Thailand. FOTO AFP
KEADAAN kebakaran kilang plastik di Bangkok, Thailand. FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Satu letupan kuat dan kebakaran besar berlaku di sebuah kilang plastik di daerah Bang Phli, Thailand pada awal Isnin, mencederakan sekurang-kurangnya 21 orang.

Kejadian pada 2.50 pagi itu berlaku di kilang Ming Dih Chemical Co yang mempunyai sekitar lima atau enam gudang dengan 50 tan bahan kimia, lapor Bangkok Post.

Letupan yang mencetuskan kebakaran besar itu mengakibatkan kerosakan pada kilang dan bangunan serta rumah yang terletak dalam radius satu kilometer (km).

Pihak berkuasa tempatan di wilayah Samut Prakan telah mengarahkan penduduk yang berada dalam radius 5km dari kilang dipindahkan.

Punca letupan masih belum diketahui.

Lebih 30 jentera bomba dari kawasan pentadbiran Rachathewa dan berhampiran dikejarkan ke lokasi untuk memadam kebakaran, malah pasukan penyelamat turut menggunakan helikopter yang melepaskan air dari udara.

Asap tebal memenuhi ruang udara Bangkok susulan kebakaran itu dan dapat dilihat di lapangan terbang Suvarnabhumi, namun tiada penerbangan yang terganggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 3:22 PM