GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

New Delhi: Tindakan keluarga bakal isteri yang tidak menghidangkan makanan kegemaran menjadi punca seorang lelaki membatalkan perkahwinannya.

Menerusi laporan Indian Express, lelaki bernama Ramakant Patra tiba di Sukinda, Odisha untuk majlis perkahwinannya.

Sebaik tiba bersama ahli keluarga, Patra disambut keluarga bakal isterinya untuk makan tengah hari sebelum majlis perkahwinan itu bermula.

Namun, Patra kecewa apabila hasratnya menikmati kari kambing pada hari bahagianya tidak ditunaikan.

Dia mempersoalkan ketiadaan makanan kegemarannya sehingga berlaku pertengkaran dengan keluarga bakal isteri.

Kemuncak pertengkaran berlaku apabila Patra membuat keputusan untuk membatalkan perkahwinannya itu.

Lelaki berusia 27 tahun itu tinggal di rumah saudaranya di daerah sama selepas kejadian itu.

Namun, apa yang lebih mengejutkan apabila dia berkahwin dengan wanita lain sebelum pulang ke Rebanapalaspal, sehari kemudian.

Pembatalan perkahwinan pada saat-saat akhir bukan sesuatu yang baharu di India.

Beberapa hari lalu, pengantin perempuan di Uttar Pradesh menolak untuk berkahwin kerana penglihatan bakal suaminya teruk.

Wanita itu dikatakan tidak mahu meneruskan perkahwinan selepas mendapati bakal suaminya memakai kaca mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:31 AM