TANGKAP layar daripada video yang tular menunjukkan insiden berkenaan.
TANGKAP layar daripada video yang tular menunjukkan insiden berkenaan.
Agensi

New Delhi: Tular sebuah video di Uttar Pradesh, India menunjukkan dua individu membuang mayat pesakit disyaki meninggal dunia akibat Covid-19, ke dalam sungai.

India Today melaporkan suspek dikenal pasti sebagai Sanjay Kumar dan Manoj Kumar ditangkap hasil maklumat pengguna jalan raya yang menjadi saksi perbuatan mereka, Sabtu lalu.

Menerusi rakaman video yang tular itu, kelihatan dua lelaki dengan seorang daripadanya memakai pakaian perlindungan diri (PPE) berdiri di tepi jambatan di Balrampur.

Kedua-dua lelaki itu kemudiannya bertindak membuang jenazah yang disyaki pesakit Covid-19 ke dalam Sungai Rapti.

Jurucakap polis memaklumkan, pihaknya mengenal pasti mayat itu sebagai Premnath tanpa menyatakan hubungannya dengan kedua-dua suspek.

Sementara itu, New York Post melaporkan Premnath dimasukkan ke hospital pada 25 Mei lalu selepas disahkan positif Covid-19.

Premnath meninggal dunia ketika menjalani rawatan dan pihak hospital pada awalnya menyerahkan mayat kepada keluarga untuk upacara pembakaran mayat.

Bagaimanapun, mayat Premnath dipercayai dibawa oleh kedua-dua suspek ke sungai untuk dibuang begitu saja.

Video itu tular dua minggu selepas pihak berkuasa India menemui 70 mayat yang terapung di Sungai Gangga dipercayai mangsa Covid-19.

Ketika ini, negara di Asia Selatan itu sedang melawan gelombang kedua dengan hampir 28 juta kes dilaporkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:31 AM