JAMBATAN pejalan kaki di hadapan sekolah anak Meng yang masih dalam pembinaan. FOTO Agensi
JAMBATAN pejalan kaki di hadapan sekolah anak Meng yang masih dalam pembinaan. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Demi memastikan anaknya dan kanak-kanak lain selamat melintas jalan ke sekolah, seorang ibu di China sanggup melaburkan wang bagi membina jambatan pejalan kaki.

Wanita dikenali sebagai Meng dari wilayah Henan itu memperuntukkan 998,243 yuan (RM634,865) bagi membiayai kos pembinaan dua jambatan besi berkenaan di hadapan sekolah anak lelakinya.

Menurut Meng, jalan di luar sekolah anaknya kerap sesak terutama apabila ibu bapa menurunkan atau menjemput anak mereka dari sekolah.

Katanya, kawasan itu juga tidak dilengkapi dengan lampu isyarat yang membahayakan pelajar dan guru sekolah apabila melintas jalan.

"Selain itu, sekolah itu yang berada di kawasan rendah dan sering digenangi air dan menyebabkan anak-anak basah kuyup terutama ketika menunggu ibu bapa mengambil mereka," katanya dalam portal Oddity Central.

Menurutnya, dia tidak pernah memberitahu anaknya dia membiayai pembinaan jambatan itu kerana tidak mahu anaknya berbangga dengan rakan sekolahnya.

"Saya cuma harap sumbangan saya ini membantu anak-anak dan kakitangan sekolah supaya mereka selamat dan membolehkan mereka belajar dengan selesa," katanya.

Satu bahagian daripada dua jambatan itu hampir siap dan satu lagi dalam proses meletakkan landasan.

Projek jambatan itu mendapat kelulusan biro pembangunan perumahan dan luar bandar dengan dana pembinaannya sebelum ini dilaporkan hasil sumbang 'penderma misteri.'

Kisah kemurahan hati Meng ini meraih perhatian meluas di China dengan netizen memuji niat murni wanita itu.

Ramai yang kagum memandangkan jumlah wang dibelanjakan untuk projek itu mencukupi untuk membolehkan wanita itu memiliki sebuah rumah yang besar atau beberapa apartmen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 6:30 AM