FOTO fail menunjukkan kereta api ‘ekspres oksigen’ tiba di Mumbai. FOTO AFP s
FOTO fail menunjukkan kereta api ‘ekspres oksigen’ tiba di Mumbai. FOTO AFP s
Agensi

New Delhi: Kereta api 'ekspres oksigen' pertama dengan bekalan kira-kira 70 tan oksigen tiba di sini, ketika ibu negara India itu mengalami kekurangan gas berkenaan untuk rawatan pesakit Covid-19.

Kereta api itu tiba di sebuah stesen kereta api di sini pada malam Isnin malam supaya oksigen itu segera diedarkan ke hospital yang memerlukan bekalan gas itu.

Sistem penjagaan kesihatan di India kini amat terjejas dengan peningkatan kadar jangkitan Covid-19.

India secara rasmi melaporkan 323,000 kes baru pada hari Selasa, 8.4 peratus lebih rendah daripada hari Isnin, susulan pengurangan jumlah ujian saringan.

Ia menjadikan negara itu mencatatkan 300,000 kes untuk hari keenam berturut-turut dengan New Delhi mencatatkan 20,201 kes dan 380 kematian.

Namun, para pakar mengatakan jumlah kematian dan kes di seluruh negara mungkin lebih tinggi kerana tidak dilaporkan.

Ketika keadaan semakin buruk, seorang pegawai kesihatan kanan mengesyorkan orang memakai pelitup muka walaupun ketika berada di rumah.

Di New Delhi, majoriti pusat perubatan, termasuk yang terbesar, mengalami kekurangan bekalan oksigen sekali gus membahayakan nyawa ribuan pesakit.

Hospital juga kekurangan katil di unit rawatan rapi (ICU) sehingga pihak berkenaan terpaksa menolak kemasukan pesakit.

Kekurangan oksigen juga dilaporkan di negeri yang paling terjejas iaitu Maharashtra, dan dari hospital di Uttar Pradesh, Rajasthan, Gujarat, dan Haryana.

Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri mendakwa masalah itu berpunca daripada pengangkutan untuk menghantar bekalan oksigen berkenaan.

Untuk mengatasi krisis itu, pihak berkuasa mengimport 20 kapal tangki kriogenik dengan kapasiti 10 dan 20 metrik tan untuk dihantar ke negeri-negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 8:02 AM