GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Mumbai: Seramai 22 pesakit Covid-19 di hospital di India maut selepas bekalan oksigen ke ventilator mereka bocor.

Kebocoran selama 30 minit itu berlaku pada tangki oksigen di Hospital Dr Zakir Hussain di Nashik itu menyebabkan bekalan oksigen ke ventilator 60 pesakit kritikal turut terputus.

"Bekalan oskigen disambung semula dalam tempoh setengah jam dan oksigen disalurkan menggunakan tangki yang sama," kata pegawai tempatan, Suraj Mandhare.

Hospital berkenaan ketika itu merawat 170 pesakit Covid-19 yang sudah dipindahkan ke hospital lain.

Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata, kejadian berkenaan disifatkan sebagai menyedihkan.

Ketua menteri, Uddhav Thackeray mengarahkan siasatan dijalankan.

Kejadian itu berlaku selepas seminggu Thackeray meminta juruterbang India untuk mengangkut bekalan oksigen ke negeri ini untuk mengatasi kekurangan teruk ketika jumlah jangkitan Covid-19 meningkat.

Hospital-hospital di New Delhi hampir melihat bekalan oksigen mereka habis ketika jangkitan terus meningkat di negara ini.

Kes harian Covid-19 di India hari ini merekodkan jumlah tertinggi dengan 295,041 jangkitan dan 2,023 kematian dalam 24 jam.

Keseluruhan kes kini mencecah 15.6 juta dan sudah meragut 182,553 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 9:20 PM