KERAJAAN AS mengenal pasti 39 pasaran dalam talian dan 33 pasaran fizikal yang terbabit dalam penjualan barangan tiruan. FOTO AFP
KERAJAAN AS mengenal pasti 39 pasaran dalam talian dan 33 pasaran fizikal yang terbabit dalam penjualan barangan tiruan. FOTO AFP
Reuters

Washington: China menjadi pendahulu dalam pengeluaran produk tiruan dan cetak rompak.

Ia disahkan oleh wakil pejabat Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Katherine Tai dalam laporan pada Selasa yang mengenal pasti WeChat, aplikasi sembang paling popular di China, sebagai salah satu platform terbesar untuk barangan tiruan.

Barangan tiruan dan cetak rompak dari China, bersama-sama dengan yang dipindahkan dari China ke Hong Kong, menyumbang 75 peratus daripada nilai rampasan oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan AS pada 2021, menurut laporan terbaharu kerajaan AS mengenai pasaran terkenal.

Kerajaan AS mengenal pasti 39 pasaran dalam talian dan 33 pasaran fizikal yang dilaporkan terbabit dalam atau memudahkan pemalsuan tanda dagangan besar atau cetak rompak hak cipta.

"Ini termasuk terus mengenal pasti ekosistem e-dagang WeChat sebagai salah satu platform terbesar untuk barangan tiruan di China," katanya.

WeChat adalah aplikasi sembang paling popular di China dengan lebih daripada satu bilion pengguna aktif dan dimiliki oleh firma teknologi China Tencent Holdings Limited.

Laporan itu mendakwa WeChat menyediakan ekosistem e-dagang yang memudahkan pengedaran dan penjualan produk tiruan kepada pengguna.

Pasaran dalam talian yang berpangkalan di China, AliExpress, Baidu Wangpan, DHGate, Pinduoduo dan Taobao juga kekal sebagai sebahagian daripada senarai pasaran yang terkenal untuk barangan tiruan, bersama-sama dengan tujuh pasaran fizikal di China, kata Pejabat USTR pada Selasa.

Kerajaan AS menambah tapak e-dagang yang dikendalikan oleh Tencent dan gergasi teknologi China Alibaba Group Holding Ltd ke senarai pasarannya yang terkenal pada awal 2022.

Dalam pada itu, Kerajaan China tidak bersetuju dengan keputusan AS memasukkan beberapa laman web e-dagang dalam senarai berkenaan dan menyifatkan tindakan itu tidak bertanggungjawab.

Tencent tidak bersetuju dengan keputusan itu dan Alibaba berkata, ia akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk menangani kebimbangan mengenai perlindungan harta intelek di seluruh platformnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 1:18 PM