Schapelle Corby. FOTO  AGENSI
Schapelle Corby. FOTO AGENSI
Agensi

Sydney: Seorang wanita yang pernah digelar Ratu Ganja kini mengundang kritikan ramai apabila menjadi selebriti televisyen di beberapa program realiti televisyen di Australia.

Warga Australia itu, Schapelle Corby pernah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali kerana membawa empat kilogram dadah jenis ganja dalam papan luncur, 17 tahun lalu.

Kompas melaporkan tiga tahun kemudian dan selepas menjalani hukuman penjara, dia pulang ke negara asal.

Wajah Schapelle kemudian menghiasi siaran televisyen di Australia.

Mulai minggu depan, wajah Schapelle akan menghiasi televisyen di Australia untuk program realiti televisyen, Dancing With the Stars.

Sebelumnya, Schapelle tampil sebagai peserta realiti, SAS Australia yang disiarkan pada Oktober tahun lalu.

Di program itu, pasukan tentera bersaing dengan selebriti dan tokoh di Australia untuk melakukan ujian fizikal dan psikologi.

Terkejut melihat kemunculan Schapelle di SAS menghiasi siaran ABC Indonesia, Raditya Marendra, lelaki berasal dari Bogor sudah lima tahun menetap di Melbourne, mengakui menonton rancangan SAS Australia itu.

Tetapi kehadiran Schapelle Corby membuat Adit tertanya-tanya alasan televisyen memilih wanita itu.

"Saya terkejut kerana (peserta) yang lain itu adalah peserta yang latar belakangnya adalah profesional seperti atlet atau pelawak, tetapi saya tahu Corby pernah ditangkap di lapangan terbang di Indonesia kerana menyeludup dadah.

"Kenapa orang yang ada latar belakang atau rekod jenayah jadi peserta program realiti?" katanya.

Banyak komen negatif dilemparkan di Channel 7 kerana menampilkan Schapelle yang pernah digelar Ratu Ganja oleh berita antarabangsa.

Salah satunya yang ditulis Tania Lekias Dudley, warga Perth mengaku kecewa dengan Dancing With The Stars yang akan menampilkan Schapelle.

"Sejujurnya, saya menanti-nantikan program ini. Saya ingin menonton sejumlah bintang yang menjadikan program ini hebat.

"Tetapi apabila melihat promosi program di mana ada Schapelle Corby di sana. Ini serius? Bagaimana dia boleh dikategorikan sebagai bintang?

"Ini membuat saya malas menonton program ini dan saya kecewa dengan pemilihan pesertanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 6:01 AM