NANA Mizuki. FOTO Agensi
NANA Mizuki. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Sebuah syarikat di Jepun menawarkan cuti khas bergaji kepada pekerjanya apabila artis idola mereka berkahwin atau bersara.

Pengasas dan Presiden Hiroro, Shizen Tsurumi mengumumkan inisiatif terbaharu syarikatnya itu di Twitter.

Memetik laporan Sora News 24, sistem itu digelar Sistem Percutian Oshi melayakkan pekerja mengambil cuti berbayar selama 10 hari apabila idola mereka bersara.

Selain itu, cuti tiga hari untuk persaraan oshi (idola) kategori pertengahan atau bawah.

Mereka juga layak mendapatkan 10 hari tambahan cuti bergaji apabila idola mereka itu, berkahwin.

Pekerja juga mempunyai pilihan membahagikan cuti mereka untuk pengumuman pertunangan mahupun menjelang majlis perkahwinan idola mereka itu.

Laporan itu berkata, Tsurumi mendapat idea melaksanakan sistem baharu itu selepas berlaku dua peristiwa di syarikatnya.

Kejadian pertama ketika seorang kakitangan model kurang fokus dan tidak bekerjasama ketika Nana Mizuki, seorang pelakon dan penyanyi serta artis suara latar kepada anime mengumumkan perkahwinannya.

Kali kedua membabitkan pekerjanya yang lain sedih selepas seorang lagi idola kesayangan mereka mengumumkan persaraan dalam dunia hiburan, sebelum Tsurumi mengarahkan kakitangannya itu mengambil cuti.

Dia kemudian memutuskan secara rasmi melaksanakan inisiatif sistem baharu itu kepada semua pekerjanya.

Sistem ini juga melayakkan pekerja meminta cuti untuk menghadiri konsert idola mereka dan acara pertemuan.

Selain itu, kelulusan segera untuk persembahan saat akhir artis idola mereka yang diumumkan beberapa jam sebelum acara itu berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 7:20 AM