AKTIVIS demokrasi di China berucap antara lain bagi menyokong Zhang Zhan. FOTO AFP
AKTIVIS demokrasi di China berucap antara lain bagi menyokong Zhang Zhan. FOTO AFP
AFP

Shanghai: Seorang individu di China dipenjara empat tahun kerana melakukan laporan berita menerusi penstriman langsung dari Wuhan ketika wabak Covid-19 tercetus, kata peguamnya.

Wanita itu yang juga bekas peguam, Zhang Zhan dijatuhi hukuman itu selepas pendengaran ringkas atas tuduhan melakukan provokasi ketika tahap awal pandemik berkenaan.

Laporan dan video secara langsung disebarkan secara meluas di platform media sosial pada Februari hingga menarik perhatian pihak berkuasa yang menghukum lapan pemberi maklumat virus itu.

Beijing mengucapkan tahniah atas kejayaan "luar biasa" dalam mengendalikan virus dalam negara itu dengan ekonomi yang makin berkembang sementara sebahagian besar dunia terhenti melalui penutupan sempadan berikutan kenaikan jumlah kes sejak bermulanya wabak itu di Wuhan.

"Zhang Zhan nampak kecewa ketika hukuman dijatuhkan," kata Ren Quanniu, salah seorang peguam bela Zhang kepada wartawan yang mengesahkan hukuman empat tahun penjara di luar Mahkamah Rakyat Daerah Baru Pudong, Shanghai.

Malah, ibunya menangis teresak-esak ketika keputusan dibacakan, tambah Ren.

Kebimbangan semakin meningkat terhadap kesihatan Zhang, 37, yang memulakan mogok lapar pada Jun dan diberi makan secara paksa melalui saluran hidung.

"Dia berkata ketika saya mengunjunginya (minggu lalu), sekiranya mereka memberi saya hukuman yang berat, saya akan menolak makanan hingga akhir. Dia fikir dia akan mati di penjara," kata Ren sebelum perbicaraan.

Pihak berkuasa China mempunyai sejarah mengheret pengkritik ke mahkamah antara Hari Krismas dan Tahun Baru untuk meminimumkan reaksi negatif daripada negara Barat.

Tindakan itu dilakukan hanya beberapa minggu sebelum pasukan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dijangka tiba di China untuk menyiasat asal usul Covid-19.

Seorang peguam lain mengatakan, kesihatan Zhang merosot dan dia menderita sakit kepala, pening dan sakit perut.

"Dikawal 24 jam sehari, dia memerlukan bantuan untuk pergi ke bilik mandi," Zhang Keke, yang mengunjunginya pada Hari Krismas, menulis dalam catatan yang diedarkan di media sosial.

"Dia merasa keletihan secara psikologi, seperti setiap hari adalah seksaan."

Mahkamah mengatakan tertuduh menyebarkan 'pernyataan palsu' secara dalam talian, menurut Zhang Keke.

Zhang seorang daripada empat wartawan yang didakwa ke mahkamah oleh pihak berkuasa China selepas melaporkan dari Wuhan.

Percubaan AFP untuk menghubungi tiga wartawan lain iaitu Chen Qiushi, Fang Bin dan Li Zehua tidak berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 4:32 PM