FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Hyderabad: Akibat terlalu mengikut perasaan, seorang lelaki di India menikam isterinya hingga mati selepas menonton rakaman video yang diterima menerusi kiriman WhatsApp.

Sedangkan, rakaman video yang kononnya menunjukkan kecurangan isterinya itu adalah palsu.

Gulf News melaporkan, selain isteri, suspek, K Nageshwara Rao turut membunuh seorang saudara perempuannya.

Insiden itu dilaporkan berlaku di Nellore di Andhra Pradesh pada Sabtu lalu.

Kes itu terbongkar selepas penduduk menghubungi polis memaklumkan mereka menemui dua mayat di dalam sebuah rumah.

Timbalan Superintendan Nellore, Harinath Reddy berkata, pasukan khas dikerahkan untuk memburu suspek yang melarikan diri selepas membunuh kedua-dua mangsa.

"Dia dipercayai membunuh dua wanita termasuk isterinya walaupun tiada bukti wanita itu mempunyai kaitan dengan video itu," katanya.

Suspek yang mengusahakan perniagaan sewaan jentera untuk memindahkan tanah itu pada mulanya curiga dengan kesetiaan isterinya.

Lelaki itu berang selepas menonton rakaman video 'tidak senonoh' satu pasangan kekasih yang diterimanya menerusi WhatsApp.

Biarpun wajah individu dalam video itu tidak jelas, Rao mengesyaki wanita dalam rakaman berkenaan isterinya, Nirmalamma, 43.

Tanpa usul periksa, Rao menikam isterinya hingga mati di rumah sewa mereka.

Lelaki itu turut memanggil seorang ahli keluarga yang rapat dengan isterinya, Venkatratnamma sebelum menikamnya hingga mati.

Ia kerana dia menyangka wanita itu bersubahat dengan isterinya.

Mayat Venkatratnamma ditemui di atas katil manakala Nirmalamma di ruang tamu.

Polis menyiasat individu yang menjadi dalang penyebaran video berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 6:31 AM