MINNICK diiktiraf sebagai pelatih kecergasan tertua di dunia. FOTO Guinness World Record
MINNICK diiktiraf sebagai pelatih kecergasan tertua di dunia. FOTO Guinness World Record
Agensi

Washington: Lelaki warga emas di Texas yang menerima pensijilan latihan peribadinya ketika berusia 73 tahun dinamakan sebagai pengajar kecergasan tertua di dunia, lapor portal UPI News.

Tim Minnick, 81, yang mengajar beberapa kelas setiap hari di Gold's Gym di Austin, merampas gelaran Guinness World Record itu daripada Wendy Ida, 65, dari California.

Minnick mula bekerja sebagai pengajar kecergasan selepas mendapat sijil Akademi Perubatan Sukan Kebangsaan.

Menurutnya, penyertaannya dalam bidang itu bermula ketika dia ingin mencari sesuatu untuk memastikan dia aktif selepas kematian isteri tercinta.

"Saya mahu melakukan sesuatu yang saya rasa seperti dapat memberi sumbangan kepada seseorang," katanya.

Minnick berkata dia mengajar di semua peringkat umur, tetapi kebanyakan mereka berusia lebih 50 tahun dan paling tua adalah 95 tahun.

"Kita mula kehilangan otot apabila berusia 35 tahun atau lebih, melainkan anda berusaha 'menjaga', namun apabila sudah usia 75 tahun, sudah pasti anda tidak lagi berada dalam keadaan baik.

"Ia sama seperti membeli polisi insurans," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 3:55 PM