TRUMP tiba di menaranya selepas hari pertama perbicaraannya di New York. FOTO  AFP.
TRUMP tiba di menaranya selepas hari pertama perbicaraannya di New York. FOTO AFP.
Bernama-Dpa

New York: Donald Trump menjadi bekas presiden pertama dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) yang dibicarakan atas tuduhan jenayah apabila pemilihan juri bermula pada Isnin, dalam kes yang berpunca daripada pembayaran dibuat kepada pelakon filem lucah menjelang pilihan raya 2016.

Trump, Presiden ke-45 AS yang dipilih sebagai calon untuk Pilihan Raya Presiden AS 2024 bersama penyandang Presiden Joe Biden pada November, didakwa atas 34 pertuduhan.

Antaranya memalsukan rekod perniagaan sebagai sebahagian daripada rancangan yang melibatkan bekas peguamnya Michael Cohen, bagi menyembunyikan bayaran AS$130,000 yang dibuat kepada Stormy Daniels.

Daniels berkata wang itu diberikan untuk menutup mulut mengenai hubungan sulitnya dengan Trump pada 2006.

Dia mengaku membayar wang itu sebelum pilihan raya 2016 untuk menghentikan "tuduhan palsu dan peras ugut" tetapi menafikan sebarang pertemuan seksual.

Peguam Trump membuat beberapa percubaan yang tidak berjaya untuk menangguhkan perbicaraan bayaran tutup mulut itu, taktik yang mereka juga gunakan dalam tiga kes jenayah lain yang sedang dihadapi bekas presiden berkenaan.

Proses pemilihan juri di New York boleh mengambil masa beberapa hari, membabitkan ratusan orang yang akhirnya dikurangkan kepada hanya 12 juri dan enam alternatif.

Keseluruhan perbicaraan, menyaksikan Cohen dan Daniels dijangka memberi keterangan untuk pihak pendakwaan dan mungkin berlangsung sehingga lapan minggu.

Trump yang mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu, berdepan hukuman penjara maksimum empat tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 10:16 AM