PENUMPANG yang cedera dibawa ke sebuah hospital di Honolulu. FOTO AP
PENUMPANG yang cedera dibawa ke sebuah hospital di Honolulu. FOTO AP
AP

Honolulu: Puluhan mangsa parah apabila pesawat dinaiki mereka yang dalam perjalanan ke Hawaii, Amerika Syarikat (AS) mengalami turbulence (gegaran di udara) pada Ahad, kira-kira 30 minit di luar bandar ini.

Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Honolulu dalam satu kenyataan berkata, 11 penumpang pesawat Hawaiian Airlines dari Phoenix dibawa ke beberapa bilik kecemasan kerana parah, manakala sembilan yang lain dalam keadaan stabil.

Panggilan kecemasan diterima selepas 11 pagi, dan 36 mangsa dibantu pasukan penyelamat.

Daripada jumlah itu, 20 mangsa dihantar mendapatkan rawatan dengan yang paling muda berusia 14 bulan.

Mangsa mengalami kecederaan itu di kepala, luka, lebam dan tidak sedarkan diri.

Salah seorang penumpang, Kaylee Reyes memberitahu Hawaii News Now bahawa ibunya baru sahaja duduk dalam pesawat dan tidak sempat mengikat tali pinggang keselamatan ketika gegaran itu berlaku.

Hawaiian Airlines dalam satu kenyataan berkata, 13 penumpang dan tiga anak kapal dibawa ke hospital kawasan untuk rawatan lanjut.

Syarikat penerbangan itu berkata, pesawat itu membawa 278 penumpang dan 10 anak kapal serta selamat mendarat di Honolulu kira-kira 10.50 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 10:05 AM