JOE Biden. FOTO fail AFP
JOE Biden. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Buat pertama kali dalam sejarah, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-80 tahun, di Rumah Putih, pada Ahad, tidak meraikannya secara umum.

Sehingga tengah hari, barulah isterinya, Jill Biden menyiarkan mesej penuh dengan dua gambar pasangan itu menari dalam tuksedo dan pakaian gala.

"Tiada orang lain yang saya lebih suka menari selain awak. Selamat Hari Lahir Joe! Saya sayang awak," tulis Jill Biden di Twitter.

Ia adalah satu-satunya mesej dari Rumah Putih sempena ulang tahun Biden, dan tanpa acara umum.

Sehari sebelum itu, keluarga Biden menganjurkan majlis berskala besar secara tertutup di Rumah Putih iaitu perkahwinan cucu Biden, Naomi tanpa mengundang pengamal media.

Biden mempunyai perkara penting untuk dibincangkan dengan keluarganya dalam beberapa hari akan datang, sama ada beliau akan bertanding semula untuk pemilihan Presiden pada 2024.

Biden berjanji untuk mengumumkan keputusannya pada awal tahun depan.

Pelbagai tinjauan baru-baru ini mengatakan majoriti rakyat AS enggan Biden bertanding semula.

Walaupun tokoh berpengaruh yang berumur lebih dari 70 atau 75 tahun cukup ramai dalam landskap politik AS, pilihan raya pertengahan penggal membawa beberapa perubahan membabitkan generasi awal dalam Parti Demokrat.

Nancy Pelosi, 82, mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding bagi penggal baharu sebagai Speaker Dewan Perwakilan.

Biden sebelum ini menjalani pemeriksaan perubatan menyeluruh kira-kira setahun yang lalu, dan keputusannya mendapati beliau sihat, cergas serta sesuai untuk berkhidmat sebagai Presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 10:27 AM