PAUL Pelosi. FOTO AP
PAUL Pelosi. FOTO AP
AP

San Francisco: Suami kepada Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi mengaku bersalah pada Selasa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI) ketika kemalangan pada Mei di California.

Paul Pelosi dijatuhi hukuman penjara lima hari dan tempoh percubaan selama tiga tahun.

Hakim Mahkamah Tinggi Napa County, Joseph Solga berkata, Paul sudah menjalani hukuman penjara dua hari dan menerima kredit berkelakuan baik selama dua hari lagi.

Katanya, Paul akan bekerja lapan jam dalam program kerja mahkamah sebagai ganti hari yang tinggal.

Undang-undang negeri membenarkan defendan salah laku DUI hadir melalui peguam mereka melainkan diarahkan sebaliknya oleh mahkamah.

Sebagai sebahagian daripada tempoh percubaannya, Paul juga akan dikehendaki menghadiri kelas selama tiga bulan dan memasang peranti interlock, di mana pemandu perlu memberikan sampel nafas sebelum enjin dihidupkan.

Dia juga perlu membayar kira-kira AS$5,000 (RM22,437.50) sebagai ganti rugi terhadap mangsa untuk bil perubatan dan kehilangan gaji dan denda hampir AS$2,000 (RM8,975), kata hakim itu.

Paul ditahan berikutan kemalangan pada 28 Mei di Napa County, utara San Francisco, selepas ujian menunjukkan dia mempunyai kandungan alkohol dalam darah sebanyak 0.82 peratus iaitu melebihi had dibenarkan undang-undang.

Pegawai bertindak balas terhadap kemalangan selepas 10 malam berhampiran pekan Yountville itu berkata, mereka menemui Paul di tempat duduk pemandu Porsche Carrera 2021 dan pemandu lain berdiri di luar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), menurut aduan itu.

Pegawai Peronda Lebuhraya California melaporkan, kaki Paul tidak stabil, pertuturannya tidak jelas dan dia mempunyai bau yang kuat seperti minuman beralkohol.

Pendakwa raya memfailkan kes itu sebagai salah laku kerana kecederaan kepada pemandu SUV berusia 48 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 10:31 AM