IVANA Trump. FOTO Reuters
IVANA Trump. FOTO Reuters
AFP

New York: Kematian isteri pertama bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Ivana Trump dipercayai akibat kecederaan kesan tumpul pada tubuh badannya.

Ketua pemeriksaan perubatan New York mengesahkan punca kematian Ivana akibat kemalangan, namun tidak memperincikan hasil laporan bedah siasat berkenaan.

Media tempatan melaporkan, polis turut menyiasat sama ada wanita berusia 73 tahun itu maut akibat terjatuh dari tangga rumahnya di Manhattan.

Jurucakap Jabatan Polis New York berkata, pihaknya bertindak balas selepas menerima panggilan dari alamat Ivana di Upper East Side dan sebaik tiba di lokasi mereka mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan tiada tindak balas.

"Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan nampaknya tidak berkaitan dengan sebarang jenayah," katanya dalam kenyataan menerusi emel kepada AFP.

Dalam pada itu, seorang pegawai Mahkamah AS semalam berkata, perbicaraan Trump dan anaknya, Donald Jr dan Ivanka dalam siasatan sivil New York terhadap dakwaan penipuan perniagaan keluarga mereka ditangguhkan seketika berikutan kematian Ivana.

Sementara itu, Donald Trump yang mengumumkan kematian Ivana Khamis lalu, menyifatkan bekas isterinya itu sebagai wanita hebat, cantik dan menakjubkan yang menjalani kehidupan penuh hebat dan memberikan inspirasi.

Ivana adalah seorang model yang dibesarkan di bawah pemerintahan komunis di Czechoslovakia sebelum berkahwin dengan Trump.

Dia kemudian menjadi seorang pemaju hartanah pada tahun 1977.

Anak pertama mereka, Donald Jr dilahirkan pada tahun itu manakala Ivanka pada tahun 1981 diikuti Eric tahun 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 10:23 AM