IVANA Trump. FOTO Reuters.
IVANA Trump. FOTO Reuters.
Reuters

Washington: Ivana Trump, isteri pertama bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meninggal dunia, semalam pada usia 73 tahun.

"Dengan dukacitanya saya ingin memaklumkan kepada semua orang yang menyayanginya bahawa Ivana Trump telah meninggal dunia di rumahnya di New York City," kata Trump menerusi hantaran di media sosial, Truth Social.

Sementara itu Keluarga Trump menggambarkan Ivana sebagai seorang yang cekal.

"Dia lari daripada komunisme dan menyesuaikan diri di negara ini. Dia juga mengajar anak-anaknya erti ketabahan dan kecekalan, empati dan keazaman," menurut kenyataan Keluarga Trump.

Punca kematian Ivana tidak dinyatakan sama ada dalam kenyataan keluarga itu mahupun oleh Trump, namun New York Post yang memetik sumber polis berkata, Ivana mengalami serangan jantung di apartmennya di Manhattan dan meninggal dunia ketika paramedik tiba.

Jabatan Bomba New York pula tanpa mendedahkan identiti memaklumkan paramedik menerima panggilan kecemasan serangan jantung yang dialami wanita 73 tahun di apartmen Upper East Side, tempat tinggal Ivana pada 12.39 tengah malam Khamis.

Ivana yang dilahirkan di Czechoslovakia, adalah seorang model apabila dia bertemu Trump pada 1976 dan pasangan itu berkahwin setahun kemudian.

Mereka bercerai pada 1992 dan mempunyai tiga anak bersama iaitu Donald Jr, Ivanka dan Eric.

Ivana memainkan peranan utama dalam membina imej media Trump pada 1980-an, ketika mereka menjadi pasangan paling menonjol di New York City.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 9:58 AM