CARMAN Deck.
CARMAN Deck.
AFP

Washington: Selepas tiga kali perbicaraan, Missouri melaksanakan hukuman mati kepada seorang lelaki yang dijatuhi hukuman mati kerana membunuh pasangan warga emas 26 tahun lalu.

Jabatan Koreksional mengesahkan, Carman Deck, 56, menerima suntikan maut di penjara Bonne Terre di tengah Amerika Syarikat (AS), pada 6.10 petang semalam.

Gabenor Missouri, Mike Parson dalam satu kenyataan berkata, jabatan itu melaksanakan hukuman yang diputuskan hakim dan diperintahkan mahkamah.

Isnin lalu, Gabenor Republikan enggan memberikan pengampunan dan meringankan hukuman Deck kepada penjara seumur hidup seperti yang diminta aktivis.

Mahkamah Agung AS juga menolak rayuan terakhir peguam Deck pada Isnin, menyebabkan tiada jalan lain menghalang pelaksanaan undang-undang yang dikenakan terhadap lelaki itu.

Setakat tahun ini, Deck ialah orang kelima yang dihukum mati di AS.

Pada tahun 1996, Deck membunuh pasangan tua, James dan Zelma Long di pinggir bandar St Louis.

Dia sentiasa mengakui tanggungjawabnya atas perbuatan jenayah itu.

Menurut akhbar Kansas City Star, yang lembaga pengarangnya merayu hukuman itu diringankan, pada tahun 2002 Mahkamah Agung Missouri membatalkan keputusan perbicaraan pertama atas alasan peguamnya melakukan kerja yang 'buruk' untuk membelanya.

Khususnya, mereka gagal menyampaikan kisah zaman kanak-kanaknya yang sukar ketika bersama keluarga angkat.

Mahkamah Agung AS pada 2005 membatalkan perbicaraan kedua, di mana Deck hadir dengan kaki serta pergelangan tangan digari dan perutnya diikat, yang dianggap mungkin mempengaruhi persepsi juri.

Pada 2008, dia menerima hukuman mati dalam perbicaraan ketiga, namun hakim persekutuan membatalkan hukuman itu pada 2017 atas alasan semua bukti yang ada tidak dikemukakan kepada juri.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengembalikan semula keputusan itu pada 2020 sebelum dikekalkan Mahkamah Agung Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 10:53 AM