WILLSON bersama teman wanitanya.
WILLSON bersama teman wanitanya.
Agensi

Washington: Percutian seorang saintis United Kingdom ke Georgia, Amerika Syarikat, bagi bertemu kekasihnya, bertukar tragedi apabila dia terbunuh akibat terkena peluru sesat.

Jabatan Polis Brookhaven (BDP) dalam satu kenyataan kepada People berkata, Dr Matthew Willson, 31, dari Surrey, London, terbunuh, selepas kepalanya terkena tembakan rambang.

Ketika kejadian jam 2 pagi, 16 Januari lalu itu, dia tidur di atas katilnya.

Katanya, polis ketika itu menyiasat laporan tembakan di kompleks pangsapuri di jalan berdekatan rumah mangsa.

Polis kemudian menerima panggilan kecemasan mengenai seorang lelaki ditembak di blok 3100 Jalan Clairmont.

"Polis memberi bantuan awal sewajarnya sehingga paramedik tiba dan membawa Dr Willson ke hospital berdekatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan berkenaan.

"Insiden ini nampaknya tindakan rambang membabitkan individu yang melepaskan tembakan secara melulu hingga membawa kepada kematian tragis Dr Willson," kata jabatan itu.

Sementara itu, teman wanita mangsa berkata, dia tersedar selepas mendengar tembakan sebelum mendapati Dr Willson terkena tembakan.

Dia dan jiran lain turut mendakwa tembakan rambang menjadi masalah di kawasan itu selama beberapa bulan lalu.

Berikutan itu, Polis Brookhaven meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tembakan untuk menghubungi pihaknya.

Maklumat yang membawa kepada penahanan suspek mungkin melayakkan individu terbabit mendapat ganjaran wang tunai melalui Crime Stoppers Atlanta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 7:01 AM