Anggota polis mengawal keadaan di luar pawagam selepas seorang lelaki melepaskan tembakan menyebabkan dua terbunuh.- AFP
Anggota polis mengawal keadaan di luar pawagam selepas seorang lelaki melepaskan tembakan menyebabkan dua terbunuh.- AFP

Chicago: Seorang lelaki melepaskan tembakan dalam pawagam di Louisiana petang ini waktu Malaysia) menyebabkan dua terbunuh dan tujuh lagi cedera sebelum dia menembak mati dirinya.

Menurut polis, lelaki itu berusia 58 tahun dan berkulit putih tetapi tidak menyatakan namanya.

Dia melepaskan tembakan rambang selepas 30 minit tayangan filem ‘Trainwreck’ bermula di pawagam Grand 16 di Lafayette. Ketika kejadian ada kira-kira 100 penonton apabila lelaki itu melepaskan tembakan menggunakan pistol.

Seorang guru menggunakan tubuhnya untuk melindungi rakan wanitanya daripada terkena tembakan namun wanita itu tetap terkena tembakan di kaki.

Ketua Polis Lafayette Jim Craft berkata, anggotanya sampai ke tempat kejadian beberapa minit selepas panggilan kecemasan pertama diterima.

“Empat anggota memasuki pawagam dan mereka mendengar tembakan tetapi kemudian mendapati penembak itu sudah mati akibat tembakannya sendiri,” katanya.

Menurutnya, beberapa mangsa yang cedera kini dalam keadaan kritikal di hospital.

Kejadian itu berlaku tiga tahun selepas James Holmes, 27, melepaskan tembakan dalam pawagam yang menayangkan filem ‘The Dark Knight Rises’ di Aurora, Colorado, menyebabkan 12 mati dan 70 cedera. Holmes merancang serangan itu dengan memakai jaket kalis peluru dan menggunakan gas pemedih mata.

Panel juri sedang membincangkan keputusan untuk hukuman mati terhadap Holmes. AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 4:32 PM