GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Houston: Demi kepentingan diri, seorang wanita di Texas, Amerika Syarikat (AS) sanggup membunuh anak lelakinya yang berusia enam tahun dengan memberi ubat mengandungi dadah berbahaya.

Daily Star melaporkan Ashley Marks, 25, melakukannya untuk menuntut wang pampasan insurans hayat berjumlah AS$100,000 (RM414,200).

Pihak pendakwaan dari Pejabat Peguam Daerah Harris memberitahu Marks memberi anaknya, Jason Sanchez-Marks ubat yang dibeli tanpa preskripsi doktor.

Laporan perubatan toksikologi turut menyatakan adanya penemuan kokain dalam sistem badan mangsa.

Berikutan kesalahan itu, Marks didakwa atas pertuduhan membunuh tanpa dibenarkan untuk diikat jamin.

Difahamkan, mangsa dan adik perempuannya yang berusia empat tahun tinggal bersama datuk mereka.

Mereka berdua berada di bawah jagaan datuknya sejak disahkan menghidap tuberkulosis atau batuk kering pada April tahun lalu.

Meskipun tidak tinggal bersama, Marks tetap datang untuk memberi anaknya makan ubat namun laporan Perkhidmatan Pelindung Kanak-kanak mendedahkan anak bongsunya enggan mengambilnya.

Sementara itu, datuk mangsa, Adam Marks memberitahu polis Houston bahawa selepas memakan ubat diberi anaknya, cucunya mula berhalusinasi.

Adam kemudian mengadukan apa yang terjadi kepada Marks namun anak perempuannya itu memintanya memberi lagi ubat berkenan dalam kuantiti lebih banyak tetapi dia enggan.

"Datuk mangsa mendapati cucunya tidak sedarkan diri pada 27 Jun tahun lalu dan dia kemudiannya menghubungi talian 911 bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Jason bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia sebaik pegawai perubatan tiba.

Jurucakap polis memaklumkan Adam mendakwa anak perempuannya memberikan lebih banyak ubat batuk jenis Nyquil beberapa jam sebelum cucunya meninggal dunia.

Menurut pengilang, Nyquil tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pendakwa raya memaklumkan Marks memberi Jason ubat mengandungi dadah jenis chlorpheniramine, dextromethorphan, diphenhydramine dan methamphetamine. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:35 AM