LISA Montgomery, FOTO Agensi
LISA Montgomery, FOTO Agensi
Agensi

Washington: Seorang banduan yang digelar penyerang janin terselamat daripada menjadi wanita pertama dalam tempoh 70 tahun di Amerika Syarikat dihukum mati dengan suntikan maut pada Selasa.

Ia selepas hakim di mahkamah di Indiana membenarkan permohonan peguam bela bagi menangguhkan hukuman berkenaan kepada tertuduh, Lisa Montgomery, 52.

Penangguhan pada saat akhir itu bagi membolehkan mahkamah menilai semula keadaan mental tertuduh ketika melakukan jenayah berkenaan.

Montgomery sebelum ini didapati bersalah membunuh seorang wanita hamil, Bobbie Jo Stinnett, 23, di Missouri pada Disember 2004.

Berdasarkan rekod mahkamah, tertuduh mengenal pasti mangsa secara dalam talian dan pergi sejauh 281 kilometer dari rumahnya di Kansas ke Skidmore untuk melakukan jenayah itu.

Montgomery menjerut mangsanya yang mengandung lapan bulan dengan tali sebelum menoreh perut dan mengeluarkan bayi perempuan yang belum lahir dengan pisau dapur.

Dia kemudian menculik bayi itu dan berlakon seolah-olah bayi itu adalah anaknya.

Portal Daily Star melaporkan jika hukuman itu dijalankan pada Selasa, Montgomery menjadi satu-satunya wanita yang menjalani hukuman mati di peringkat mahkamah persekutuan dan juga wanita pertama dihukum mati sejak 1953.

Dia sebelum ini dijadualkan menjalani suntikan maut di penjara Terre Haute di Indiana.

Peguam Montgomery berkata, wanita itu ditahan di sebuah penjara di Fort Worth, Texas dan aktivis hak asasi mahu hukumannya diganti dengan hukuman seumur hidup.

Mereka berpendapat dia mempunyai masalah mental yang layak mendapat belas kasihan, lapor BBC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:31 AM