PASANGAN kembar yang diberi nama Mara dan Dona sempena nama legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona. FOTO AFP
PASANGAN kembar yang diberi nama Mara dan Dona sempena nama legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona. FOTO AFP
AFP

Buenos Aires: Pasangan suami isteri di Argentina terlalu meminati Diego Maradona sehingga menamakan tiga anak mereka sempena nama legenda bola sepak itu.

Puteri kembar pasangan itu dinamakan Mara dan Dona namun sebaik dikurniakan anak lelaki Khamis lalu, mereka menamakan bayi itu dengan nama Diego.

Bahkan, bayi lelaki itu dilahirkan hari yang sama dengan ulang tahun kematian pemain bola sepak Argentina itu.

Walter Rotundo, 39, bersama isterinya Victoria sememangnya merancang untuk bayi lelaki mereka dilahirkan pada tarikh itu.

"Semua yang dirancang berjalan lancar," katanya seperti dilapor AFP.

Rotundo memaklumkan dia tidak pernah bertemu Maradona namun mengagumi kehebatan lelaki itu.

Disebabkan itu, dia menamakan puteri kembarnya yang kini berusia 10 tahun sempena nama lagenda bola sepak berkenaan.

"Hari ini ramai yang sedih apabila mengenangkan kematian Maradona namun berbeza dengan kami yang gembira menyambut kelahiran bayi lelaki," katanya.

Katanya, pada masa akan datang, tarikh yang sama akan dikenang sebagai hari kematian Maradona dan dalam masa sama hari ulang tahun anak lelakinya.

Ketika Mara dan Dona baru dilahirkan 10 tahun lalu, Rotundo ada mengirimkan foto bayinya kepada Maradona.

Foto dia menggendong dua bayi kembarnya itu dibalas Maradona dengan sekeping gambar dia memegang foto berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 6:01 AM