FOTO Lamia Al-Labawi bersama bakal suaminya itu.
FOTO Lamia Al-Labawi bersama bakal suaminya itu.
Agensi

Tunis: Hari bahagia bertukar menjadi episod paling memalukan dalam hidup. Itu yang berlaku kepada seorang wanita Tunisia yang ditinggalkan bakal suami pada majlis perkahwinannya.

Ia selepas ibu kepada si lelaki mendakwa pengantin perempuan 'hodoh dan pendek'.

Daily Star melaporkan ibu kepada si lelaki hanya melihat gambar bakal menantunya itu, menjelang hari bersejarah itu.

Wanita terbabit dikatakan hanya melihat bakal menantunya itu buat kali pertama di majlis berkenaan.

Ibu kepada lelaki itu dilaporkan kecewa selepas mendakwa bakal menantunya terlalu pendek dan tidak menarik untuk mengahwini anaknya.

Dia kemudian mengarahkan anak lelakinya untuk menghentikan majlis itu serta-merta, kerana dia tidak boleh membenarkan anak lelakinya menikahi wanita dikenali sebagai Lamia Al-Labawi itu.

Lelaki terbabit bersama-sama dengan ibunya dilaporkan kemudian meninggalkan Lamia.

Sebelum 'drama' berkenaan, Lamia dilihat bergambar di sebelah pasangannya yang dilihat sedang mengelap mukanya dengan sapu tangan.

Susulan insiden berkenaan, Lamia kemudian memuat naik video di media sosial untuk menerangkan mengenai insiden berkenaan.

Wanita itu memberitahu orang ramai bahawa dia adalah anak yatim piatu dan menghabiskan banyak wang untuk mengadakan majlis berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kebahagiaan itu 'diragut' daripadanya oleh bakal ibu mentuanya.

Bakal pengantin perempuan yang jiwanya hancur itu dikatakan dibiarkan menanggung malu dan sekarang dikatakan enggan tampil keluar bertemu orang ramai berikutan penolakan itu.

Sementara itu, beberapa portal melaporkan netizen menzahirkan sokongan netizen di media sosial selepas perkahwinannya dibatalkan kerana bakal ibu mentuanya tidak menyukai penampilannya,

Kisah itu tersebar di media sosial di mana Lamia mendapat sokongan daripada netizen.

"Dengan kasih sayang dan persaudaraan, saya memberitahu anda, angkat kepala anda dan hadapi dunia dengan sekuat tenaga anda," kata pelakon teater Tunisia, Hedi Al-Mejri kepada Lamia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 11:14 AM