Polis menunjukkan daun ganja yang dirampas dari ladang berkenaan. Foto Agensi
Polis menunjukkan daun ganja yang dirampas dari ladang berkenaan. Foto Agensi
Agensi

Palembang: Rahsia sebuah ladang yang menanam ganja berskala besar akhirnya terbongkar selepas diserbu polis di Musi Rawa Utara di sini, pada Khamis.

Menerusi laporan detiknews.com, polis menjalankan intipan di ladang berkenaan menggunakan dron.

Ketua Narkotik Polis Rawas Utara Iptu Moris Widhi berkata, pembongkaran aktiviti haram ladang berkenaan dijalankan susulan penahanan dua lelaki berusia 23 dan 29 tahun.

"Polis menahan dua lelaki yang memiliki 800 gram daun ganja kering selepas mendapat maklumat awam.

"Menerusi siasatan lanjut yang dijalankan, polis kemudian mendapat maklumat daun ganja kering yang dirampas itu dibeli dari seorang lelaki lain," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat berkenaan polis mengesan pengedar ganja berkenaan yang memiliki sebuah ladang ganja.

Katanya, polis kemudian menerbangkan dron untuk mengintip ladang seluas satu hektar itu dan ternyata wujud aktiviti penanaman ganja.

"Pasukan serbuan kemudian bergerak ke lokasi berkenaan untuk serbuan dan mengambil masa hingga empat jam untuk tiba.

"Dalam serbuan itu polis merampas 295 pokok ganja dan 49 kilogram daun ganja, katanya.

Tambahnya, pemilik ladang ganja itu sudah menghilangkan diri sebaik mengetahui dirinya diburu polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 1:44 PM