JACINDA Ardern catat kemenangan besar dalam pilihan raya umum New Zealand. FOTO AFP
JACINDA Ardern catat kemenangan besar dalam pilihan raya umum New Zealand. FOTO AFP
AFP

Wellington: Perdana Menteri Jacinda Ardern mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya umum New Zealand hari ini, khususnya selepas berjaya membuktikan kepimpinannya melawan Covid-19 untuk memperoleh majoriti.

Dengan dua pertiga undi dihitung, Parti Buruh yang diwakili Ardern memperoleh 49.2 peratus dan diramal akan menguasai kira-kira 64 kerusi di Parlimen 120 anggota.

Tidak ada pemimpin yang mencapai majoriti mutlak sejak New Zealand mengadaptasi sistem undian proporsional pada 1996, yang membawa kepada penggantian kerajaan pelbagai parti.

Walaupun jumlahnya belum dimuktamadkan, jumlahnya undi yang diperoleh sudah cukup bagi pemimpin pembangkang, Judith Collins untuk mengaku kalah selepas menghubungi Ardern.

"Tahniah atas keputusan yang dicapai, ini adalah hasil yang luar biasa bagi Parti Buruh. Ini adalah kempen yang sukar," kata Collins kepada penyokong yang bersorak di Auckland.

Parti Nasional konservatif yang diwakilinya diharapkan memenangi kira-kira 35 kerusi dalam apa yang dilihat keputusan terburuk dalam hampir 20 tahun.

Prestasi Ardern mengalahkan tinjauan pendapat prapilihan raya dan meletakkan Parti Buruh di landasan paling kuat sejak 1946.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 7:49 PM