FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Karachi: Penduduk di Gulshan-e-Hadeed di sini, gempar apabila lima singa dilihat berkeliaran di sekitar perumahan mereka, baru-baru ini.

Ia mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai.

Portal Gulf News yang memetik laporan media tempatan melaporkan lima singa itu antara enam haiwan jenis itu yang dipelihara di sebuah rumah ladang persendirian.

Haiwan itu dilaporkan terlepas dari kandang dan menyerang anjing yang mengawal kawasan berkenaan.

Ia kemudian memasuki bangunan berhampiran menyebabkan penghuninya yang ketakutan bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Mereka kemudian pergi ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

Susulan itu, pihak berkuasa hidupan liar melancarkan operasi bagi menangkap kelima-lima singa itu.

Konservator hidupan liar wilayah berkenaan, Javed, Ahmes Mehar berkata, haiwan itu berjaya ditangkap pada hari sama selepas operasi berjam-jam.

"Tiada undang-undang membenarkan orang awam memelihara haiwan liar di rumah mereka," katanya.

Beliau berkata, perkara itu juga sudah termaktub dalam undang-undang berhubung pemeliharaan haiwan liar di rumah persendirian.

"Kita akan menyaman pemilik haiwan terbabit kerana melakukan kesalahan itu," katanya.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 7:01 AM