EL MENCHO. FOTO Agensi
EL MENCHO. FOTO Agensi
Agensi

Mexico City: Demi mengelak dirinya daripada ditahan pihak berkuasa, ketua kartel dadah paling dikehendaki di Mexico sanggup membina hospital swasta di negara itu.

Oddity Central melaporkan, El Mencho atau nama sebenarnya Nemesio Oseguera Cervantes, 54, mengambil tindakan itu kerana yakin dapat menjalani rawatan lebih selamat di hospital terbabit.

Langkah itu diambil ketika kebanyakan ahli atau ketua kumpulan penjenayah lain di negara itu hanya mengupah doktor peribadi.

The Guardian pula melaporkan El Mencho adalah ketua Jalisco Nueva GeneraciĆ³n Cartel (CJNG) dan berdepan masalah kesihatan.

Dia dikatakan memerlukan rawatan berterusan akibat masalah kegagalan buah pinggang dan penyakit kronik lain.

Difahamkan, El Mencho tidak dapat dirawat di lokasi persembunyiannya di Jalisco, di tengah Mexico.

Akhbar Mexico El Universal juga melaporkan hospital swasta El Mencho itu dibina di El Alchihuatl iaitu sebuah komuniti kecil dengan populasi 200 penduduk.

Ia terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Villa Purificacion.

Ia bukan seperti fasiliti kesihatan moden lain, sebaliknya lebih kelihatan seperti kubu. Hospital itu dipercayai akan digunakan untuk El Mencho, konconya dan penduduk tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:15 AM