PETUGAS mengawasi kawasan sempadan di Suifenhe, di wilayah Heilongjiang. FOTO AFP/ China OUT
PETUGAS mengawasi kawasan sempadan di Suifenhe, di wilayah Heilongjiang. FOTO AFP/ China OUT
Agensi

Beijing: China menguatkuasakan sekatan pergerakan di Harbin, bandar di wilayah Heilongjiang di timur laut negara itu, susulan peningkatan jumlah kes Covid-19.

AFP melaporkan ia selepas data terkini menunjukkan gelombang terbaru wabak berkenaan di bandar bersempadan dengan Rusia yang mempunyai 10 juta penduduk itu.

Terdapat peningkatan kes import membabitkan penduduk yang baru pulang dari luar negara dan pada masa, jangkitan tempatan juga dikesan turut meningkat.

Dua kluster jangkitan dikaitkan dengan dua hospital di bandar itu.

Pihak berkuasa kini mengharamkan bukan penduduk dan kenderaan mereka daripada memasuki kawasan perumahan di bandar itu.

Sesiapa yang tiba dari luar China atau kawasan terjejas teruk akibat Covid-19 diarah untuk menjalani kuarantin.

Saringan suhu dan pemakaian penutup mulut dan hidung pula diwajibkan untuk mana-mana individu yang ingin memasuki kawasan perumahan.

Pada masa sama, mereka perlu mempunyai kod kesihatan hijau dalam aplikasi telefon bimbit mereka.

Dalam pada itu, pelajar universiti dari Heilongjiang juga tidak dibenarkan untuk kembali ke sekolah atau universiti di bahagian lain di negara itu.

Menurut pihak berkuasa, seramai 35 orang yang melawat atau bekerja di dua hospital di Harbin dijangkiti daripada pesakit berusia 87 tahun yang dirawat kerana strok dan kemudian disahkan positif Covid-19.

Setakat Rabu, berdasarkan data Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan terdapat 537 kes disahkan positif Covid-19 di wilayah berkenaan, dengan 384 daripadanya adalah kes import.

Susulan perkembangan terbaharu ini, timbalan datuk bandar Harbin dan ketua suruhanjaya kesihatan tempatan dikenakan tindakan.

Pada masa sama, ketua hospital kedua di mana salah satu kluster dikesan juga dipecat dan 13 doktor lain diberikan amaran keras.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 1:37 PM