ERIC Yuan
ERIC Yuan
Bisnes HM


WALAUPUN berdepan pelbagai masalah khususnya berkaitan isu keselematan aplikasi yang dibangunkan, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Zoom, Eric Yuan muncul sebagai pendatang baharu dalam senarai manusia terkaya dunia yang dikeluarkan Forbes hari ini.

Nilai kekayaan Yuan adalah sebanyak AS$5.3 bilion (RM23.03 bilion).

Berdasarkan kisah yang dikongsi dengan Forbes, berbekalkan ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik Gunaan, Yuan nekad berhijrah ke California dan memulakan kerjaya di Webex, antara pemain awal dalam aplikasi sidang video dan sidang web.

Selepas syarikat itu diambil alih oleh Cisco, Yuan mengambil keputusan untuk meninggalkan syarikat berkenaan dan memulakan Zoom pada 2011.

Ketika awal ia beroperasi, Zoom ditawarkan secara percuma khususnya kepada organisasi yang memerlukan seperti Universiti San Francisco.

Zoom kini memiliki 17 pusat data yang direka untuk mengendalikan trafik sehingga 100x.

Dengan pasukann kejuruteraan di seluruh dunia termasuk China dan Malaysia, Zoom kini mampu mengendalikan pelbagai isu teknikal dari jarak jauh sepanjang masa.

Selain Yuan, seramai 178 hartawan lain berjaya menduduki senarai Forbes buat kali pertama.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencatatkan penurunan kekayaan sebanyak AS$1 bilion dalam tempoh sebulan dengan nilai semasanya kini AS$2.1 bilion (RM9.12 bilion).

Trump kini berada di kedudukan ke-1,001 dalam senarai itu berbanding di tangga ke-715 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 5:31 PM