Agensi

Aligarh: Hilang kawalan sampai membunuh anak kandung sendiri hanya kerana suami menolak permintaannya membeli pakaian baharu buat dia dan anak mereka sempena perayaan Holi.

Itu tindakan kejam seorang wanita berusia 25 tahun di Uttar Pradesh, India yang memukul bayi perempuannya berusia enam bulan sehingga mati.

Gulfnews melaporkan, polis mengesahkan, suspek Pinky Sharma dan suaminya, Rahul yang menetap di perkampungan di Rampul bertelagah selepas lelaki itu menolak pergi ke pasar raya membeli pakaian baharu.

“Pinky melepaskan marahnya ke atas anaknya, Soni dengan memukul bayi dengan tongkat sehingga mati.

“Pinky dituduh di bawah Seksyen 302 (bunuh),” katanya.

Pegawai balai polis, Naresh Kumar Singh mendedahkan, Pinky memberitahu polis dia tidak berniat memukul anak kandungnya itu.

Katanya, wanita itu kecewa dengan masalah rumah tangganya dan pergaduhan berterusan dengan suaminya itu.

Akibatnya, dia melampiaskan kekecewaan dan kemarahannya terhadap anak mereka tanpa menyedari bayi itu akan mati.

Wanita itu dilaporkan berkahwin dengan Rahul seorang pekerja buruh kilang pembuatan kunci empat tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua anak berusia tiga tahun dan enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 9:30 AM