WATANABE  diraikan ketika diiktiraf sebagai lelaki tertua dunia. FOTO AGENSI
WATANABE diraikan ketika diiktiraf sebagai lelaki tertua dunia. FOTO AGENSI
Agensi

LELAKI tertua di dunia, meninggal dunia pada usia 112 tahun.

Chitetsu Watanabe, dari bandar Joetsu, Niigata, di Jepun, sebelum ini, disahkan oleh Guinness World Records sebagai lelaki tertua dunia.

Dia meninggal dunia 11 hari sebelum meraikan ulang tahun ke-113, iaitu pada jam 11.10 malam, 23 Februari lalu.

Mirror Online melaporkan dengan kematian Watanabe, seorang lelaki Inggeris, Bob Weighton kini disahkan pemegang rekod lelaki tertua dunia.

Watanabe, dalam satu temu bual sebelum ini berkata, rahsianya kekal awet muda adalah gemar ketawa, tidak marah dan menjaga pemakanan.

Sebelum ini, dia tinggal bersama keluarga seorang anak lelakinya, sebelum berpindah ke rumah penjagaan ketika berusia 108 tahun.

Lelaki itu dilahirkan pada 5 Mac 1907 di Uragawara yang kini dikenali sebagai Joetsu.

Dia adalah anak pertama daripada lapan beradik.

Watanabe pernah berpindah ke Taiwan untuk bekerja dengan syarikat pengeluar gula, Dai-Nippon Meiji Sugar Company.

Di situ, dia bertemu dengan isterinya dan mereka dikurniakan lima anak.

Selain itu, dia pernah berkhidmat sebagai tentera pada penghujung Perang Pasifik pada 1944, sebelum kembali ke Joetsu.

Sebelum bersara, dia bekerja dengan pejabat pertanian di Niigata.

Dia kemudian menghabiskan usia persaraan dengan mengusahakan ladang pertanian sehingga berusia 104 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 6:00 AM