SUSPEK ditahan polis untuk siasatan lanjut. FOTO Agensi
SUSPEK ditahan polis untuk siasatan lanjut. FOTO Agensi
Agensi

Bogor: Seorang suami di Indonesia bukan saja tergamak melacurkan isterinya kepada empat lelaki, malah lebih jijik merakamkan perbuatan itu.

Ia bertujuan melangsaikan hutang berjumlah hanya 50,000 rupiah (RM15).

Kompas.com melaporkan, lelaki berusia 28 tahun dari wilayah Rejoso menunjukkan rakaman video itu kepada rakannya yang lain.

Bukan itu saja, suspek memukul isterinya jika wanita itu enggan melayan permintaan rakannya.

Ia menyebabkan mangsa terpaksa menuruti permintaan suaminya kerana takut dibelasah lelaki itu.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak bertahan lama apabila lelaki itu ditahan polis selepas pihak berkuasa menerima laporan daripada isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai F.

Ketua Polis Bandar Pasuruan Adjutan Pesuruhjaya Kanan Donny Alexande berkata, suspek mengakui ‘menjual’ isterinya disebabkan kesempitan wang.

Lelaki itu turut mengaku ia bertujuan untuk kepuasan seksual.

Suspek mengakui merakam perbuatan tidak bermoral itu yang kemudian ditunjukkan kepada rakan lain.

“Jika tidak dituruti, suspek akan bertindak luar jangkaan dengan memukul isterinya sebelum dilacurkan secara paksa,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan, polis mendapati suspek sudah lima kali melacurkan isterinya untuk mendapatkan wang, namun hanya kepada rakan yang dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 7:30 AM