PENUMPANG memakai penutup hidung dan mulut di ruang menunggu stesen kereta api di Wuhan. FOTO Reuters
PENUMPANG memakai penutup hidung dan mulut di ruang menunggu stesen kereta api di Wuhan. FOTO Reuters
Agensi

Seoul: Korea Selatan menjadi negara ketiga mengesahkan kes pertama koronavirus dikesan di negara itu selepas wabak itu tercetus di China.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (KCDC) Korea Selatan mengesahkan seorang pesakit wanita China berusia 35 tahun yang menaiki pesawat Wuhan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada Ahad lalu.

AFP melaporkan, virus yang pertama kali ditemui di bandar Wuhan, China, turut mempunyai kaitan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) menyebabkan kematian 650 orang di China dan Hong Kong pada 2002 dan 2003.

Selain Korea Selatan, sebelum ini Thailand dan Jepun turut mengenal pasti virus itu apabila semua pesakit yang dikesan pernah melawat China.

Menurut KCDC dalam satu kenyataan, wanita itu adalah penduduk Wuhan diasingkan sebaik saja tiba kerana mempunyai simptom, termasuk demam panas.

“Pesakit berkenaan dikenal pasti pada peringkat kuarantin dan tiada pendedahan terhadap masyarakat. Mereka yang ada kontak dengan pesakit itu, termasuk penumpang dan kru pesawat, sedang disiasat,” katanya tanpa memberikan maklumat terperinci mengenai penerbangan wanita terbabit.

KCDC berkata, wanita itu memaklumkan kepada pihak berkuasa Korea Selatan bahawa dia mengalami simptom seperti demam, menggigil serta sakit otot pada Sabtu dan mendapat preskripsi selesema di sebuah hospital di Wuhan.

Susulan itu, KCDC menaikkan tahap amaran daripada ‘perhatian’ kepada ‘waspada’ dan akan meningkatkan pemantauan.

Pihak berkuasa tempatan akan melaksanakan sistem kuarantin kecemasan sepanjang masa, termasuk ketika cuti Tahun Baharu Cina yang menjelang tiba.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 2:54 PM