KEADAAN banjir di Jakarta. FOTO Reuters
KEADAAN banjir di Jakarta. FOTO Reuters
Agensi

Jakarta: Angka korban banjir dan tanah runtuh yang meningkat kepada 47 orang menyebabkan kerajaan Indonesia membuat keputusan melakukan pembenihan awan bagi mengelak bencana itu semakin serius.

The Guardian melaporkan, agensi teknologi Indonesia menggunakan dua pesawat digunakan untuk menyembur sodium klorida di ruang udara Selat Sunda.

Kini, kira-kira 10,000 mangsa banjir masih mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara sekitar Jakarta susulan banjir pada sambutan tahun baru, Rabu lalu.

Hujan monsun dan peningkatan mendadak kapasiti air sungai melimpah di kawasan rendah di wilayah ini selain menyebabkan tanah runtuh yang menjejaskan ramai penduduk di Bogor dan Depok.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional, Agus Wibowo berkata, mangsa yang maut setakat ini disebabkan lemas, terperangkap dalam tanah runtuh dan terkena renjatan elektrik selain hipotermia.

Beliau berkata, ada penduduk sudah mula pulang untuk membersihkan kediaman masing-masing yang dipenuhi lumpur.

"Ini adalah banjir terburuk sejak 2007 yang mengorbankan 80 orang dalam tempoh 10 hari," katanya.

Pihak berkuasa republik itu turut menggunakan pam bagi menyedut air dari kawasan perumahan, bangunan dan kemudahan awam seperti landasan kereta api.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 1:46 PM