Agensi

ZHEJIANG: Seorang guru lelaki digantung tugas kerana dikesan memberikan hukuman fizikal melampau terhadap dua murid perempuan di sebuah sekolah di wilayah Zhejiang, timur China, Jumaat lalu.

Daily Mail melaporkan menerusi rakaman video berdurasi empat minit itu, guru terbabit memukul dan menengking selain melakukan beberapa hukuman fizikal lain seperti menggoncang kasar tubuh murid berkenaan.

Guru berkenaan juga memukul murid berkenaan menggunakan pembaris kayu dengna kasar sebagai tindakan kerana dikatakan lupa membawa kertas latihan ke sekolah.

Rakaman video itu kemudiannya tular di pelbagai platform media sosial negara berkenaan sejak beberapa hari lalu dan menerima kecaman kerana tindakan itu dianggap keterlaluan.

Biro Hal Ehwal Sosial Longgang mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut terhadap guru berkenaan kini sedang dijalankan dan murid yang terbabit akan diberi kaunseling untuk memulihkan emosi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 12:05 PM