KIRA-kira sejuta etnik Uighur ditahan di kem tahanan yang didakwa Beijing sebagai pusat latihan vokasional. FOTO Agensi
KIRA-kira sejuta etnik Uighur ditahan di kem tahanan yang didakwa Beijing sebagai pusat latihan vokasional. FOTO Agensi
AFP

BEIJING: Dokumen rahsia kerajaan yang bocor mendedahkan butiran mengenai kawalan ketat terhadap etnik Uighur dalam kem tahanan di Xinjiang, termasuk dikawal sepanjang masa, walaupun ketika pergi ke tandas.

Dokumen berkenaan diperoleh Konsortium Wartawan Siasatan Antarabangsa (ICIJ) dan disiarkan 17 saluran media di seluruh dunia pada Ahad lalu.

Ia menunjukkan kawalan ketat di kem berkenaan di mana kira-kira sejuta etnik Uighur dan kumpulan Islam minoriti lain ditempatkan.

Dalam satu dokumen, pegawai kem diarahkan untuk mengawal tahanan sepanjang masa termasuk ketika ke tandas untuk mengelak mereka melarikan diri.

Pegawai kem juga dilarang berbaik dan mempunyai hubungan peribadi dengan tahanan bagi mengelakkan berlakunya percanggahan layanan.

Pengkritik berkata, pendedahan itu bercanggah dengan dakwaan Beijing sebelum ini yang mendakwa kem itu hanyalah pusat pendidikan vokasional di wilayah berkenaan.

“Ia memusnahkan dakwaan kerajaan China mengenai kem ini yang didakwa sebagai pusat latihan vokasional di mana etnik Uighur dan penduduk Islam lain masuk dengan sukarela,” kata Profesor James Leibold dari Universiti La Trobe di Australia.

Leibold yang juga pakar hubungan etnik menegaskan, dokumen itu sebaliknya mendedahkan niat sebenar China dan sifat kem tahanan yang terancang, paksaan, serta tanpa bicara itu.

Pendedahan itu dibuat seminggu selepas The New York Times melaporkan Presiden China, Xi Jinping mengarahkan pegawai bertindak tanpa langsung adanya belas kasihan terhadap kumpulan pemisah dan pelampau.

Jinping mengeluarkan arahan itu dalam ucapan pada 2014 susulan serangan pejuang Uighur terhadap sebuah stesen kereta api.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 7:29 AM