PRUITT bersama Doktor Angel Chudler yang merawatnya sehingga pulih.
PRUITT bersama Doktor Angel Chudler yang merawatnya sehingga pulih.
Agensi

MICHIGAN (AMERIKA SYARIKAT): Seorang lelaki yang disahkan meninggal dunia selama 20 minit akibat renjatan elektrik berjaya dihidupkan semula oleh doktor di sebuah hospital di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian 30 April lalu, Michael Pruitt, 20, terkena renjatan elektrik selepas tangga logam yang diusung menyentuh dawai elektrik hidup ketika bekerja di projek pembinaan di Livonia pada 30 April lalu.

Menurut Daily Mail, seorang individu menghubungi talian kecemasan dan melakukan bantuan pernafasan ke atas Pruitt.

Sepanjang perjalanan ke Hospital Beaumount Farmington Hills, paramedik berusaha menyedarkan Pruitt, namun jantungnya masih tidak berdegup.

Percubaan doktor Angel Chudler untuk mengejutkan jantung Pruitt untuk kali ketiga berjaya apabila ia mula berdegup dalam tempoh dua minit.

“Kami menaikkan tenaga defibrilator dan degupan jantung lelaki itu muncul di monitor.

“Apabila tersedar, dia seperti The Hulk kerana menggoncang besi katil dengan kuat hingga pasukan perubatan terpaksa memegangnya,” katanya kepada 7 Action News.

Pengarah Perkhidmatan Trauma Hospital Beaumont, Barbara Smith menerusi kenyataan dalam satu blog menggambarkan Pruitt sebagai orang yang ajaib.

“Dalam tempoh kurang lima minit, sel otak boleh mati akibat kekurangan oksigen. Namun, otaknya masih boleh berfungsi dengan baik.

“Adalah penting untuk meneruskan penggunaan bantuan pernafasan bagi membolehkan oksigen dalam darah bergerak ke otak,” katanya.

Lazimnya, seseorang akan mati selepas terkena renjatan 1,000 volt elektrik.

Namun, pemeriksaan doktor mendapati jari kaki Pruitt terbakar disebabkan elektrik mengalir keluar dari badannya.

Dia kembali sihat dan dibenarkan keluar dari hospital selepas lima hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:48 PM