GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

NEW DELHI: Hampir 100 kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia bulan ini akibat radang pada otak atau ensefalitis di Bihar, timur India, menurut kenyataan rasmi pejabat kesihatan negeri.

Pegawai perubatan di Muzaffarpur, Shailesh Prasad Singh, berkata kira-kira 97 kanak-kanak maut manakala 146 sedang dirawat akibat virus itu yang merebak semasa musim panas.

“Tiada kemudahan lengkap dekat sini. Sekiranya ada, dia tidak mungkin meninggal dunia,” kata Sunil Ram, bapa kepada salah seorang kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia di hospital milik kerajaan, semalam.

Pihak berkuasa kerajaan pusat dan negeri berkata, mereka sedang berusaha sebaik mungkin merawat kanak-kanak yang sakit itu.

Virus ensefalitis adalah radang pada otak disebabkan salah satu daripada beberapa virus. Gejalanya termasuklah demam tinggi, muntah dan kes teruk seperti sawan, lumpuh dan koma. Bayi dan warga tua dikatakan mudah terdedah dengan virus itu.

Lima tahun lalu, wabak sama membunuh kira-kira 380 orang di Bihar, India.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 8:35 PM