GAMBAR imbasan X-ray menunjukkan bebola ubi yang tersumbat di dalam usus remaja itu. FOTO Agensi
GAMBAR imbasan X-ray menunjukkan bebola ubi yang tersumbat di dalam usus remaja itu. FOTO Agensi
Agensi

BEIJING: Seorang remaja perempuan ditemui dengan lebih 100 bebola ubi tersumbat di dalam usus dan perutnya gara-gara terlalu banyak meminum teh susu atau ‘bubble tea’ yang menjadi trend ketika ini.

Daily Mail yang memetik media tempatan melaporkan, mangsa dari selatan China berusia 14 tahun itu pada mulanya dirujuk ke hospital pada 28 Mei lalu oleh ibu bapanya kerana mengalami sembelit selama lima hari.

Remaja dikenali sebagai Xiao Shen itu mengadu kurang selera makan dan sukar membuang air besar sebelum pemeriksaan doktor mendapati perutnya ada kesan bonjol.

Dr Zhang Louwe yang melakukan pemeriksaan itu kemudian terkejut melihat hasil imbasan X-ray menunjukkan lebih 100 biji bebola itu di dalam perut, usus dan rektum.

Selepas ditanya, remaja itu mengaku dia meminum teh susu itu sebelum mengalami masalah berkenaan.

Berdasarkan pemeriksaan, doktor terbabit mengesyaki bebola itu sudah lama terkumpul dan ia bukan berlaku dalam tempoh singkat sebelum memberi ubat julap kepada pesakit terbabit.

Bebola kecil itu yang dikenali sebagai ‘mutiara’ atau ‘boba’ diperbuat daripada kanji ubi diambil daripada ekstrak akar kering tumbuhan terbabit yang berasal dari Amerika Selatan.

Ia mempunyai tekstur yang kenyal dan tidak mempunyai apa-apa rasa.

Menurut pakar perubatan, bahan itu sukar untuk dihadam dan ia mungkin sudah dicampur dengan perasa tiruan untuk meningkatkan lagi teksturnya.

Minuman yang berasal dari Taiwan itu menjadi semakin popular terutama di bandar negara barat yang mempunyai ramai penduduk Asia seperti New York dan London.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 8:41 AM