FOTO BBC
FOTO BBC
AFP

MONROVIA: Presiden Liberia, George Weah gagal masuk ke pejabatnya selama lima hari disebabkan kehadiran dua ular hitam yang masuk ke bangunan itu minggu ini, kata pihak berkuasa semalam.

AFP melaporkan, bangunan Kementerian Luar yang menempatkan pejabat Weah yang juga bekas penyerang pasukan Paris-Saint German dan AC Milan itu terpaksa disembur bahan kimia bagi menghalau reptilia terbabit selepas dilihat muncul berhampiran lif Rabu lalu.

Kementerian itu menerusi kenyataannya berkata, semua operasi termasuk pengeluaran pasport dan visa terpaksa dihentikan sementara sehingga 24 April ini disebabkan penyemburan bahan kimia terbabit.

“Penyemburan bahan kimia itu terpaksa dilakukan kerana kehadiran ular berkenaan” kata jurucakap presiden, Smith Tobay.

Weah yang satu-satunya rakyat Afrika memenangi Anugerah Ballon D’Or pada 1995, menjadi presiden pada Januari 2018 bagi menggantikan ketua wanita pertama, Ellen Johnson.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 12:26 PM