ANGGOTA keselamatan mengawal keadaan di Karachi. FOTO/AFP
ANGGOTA keselamatan mengawal keadaan di Karachi. FOTO/AFP
AFP

QUETTA: Sekurang-kurangnya enam anggota polis Pakistan terbunuh dalam satu serangan hendap di pusat pemeriksaan di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan, hari ini.

Serangan itu berlaku di kawasan pergunungan Sanjawi di daerah Ziarat, kira-kira 80 kilometer di timur ibu kota Quetta.

“Ia satu serangan mengejut. Penyerang datang menaiki motosikal dan membunuh kesemua anggota polis yang sedang bertugas,” kata pegawai kanan kerajaan di Ziarat, Qadir Bakhsh kepada AFP.

Bakhsh berkata, penyerang menggunakan senjata automatik dan melarikan diri selepas melakukan serangan awal pagi hari ini.

Sementara itu, militan Taliban di Pakistan mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan terbabit, menerusi emel yang dihantar kepada media.

Seorang lagi, pegawai kanan kerajaan, Faisal Agha turut mengesahkan serangan terbabit dan jumlah mangsa yang terkorban.

Insiden itu berlaku selepas sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan bom kelmarin di wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 9:21 PM