KELIHATAN Cech menjiruskan sedikit asid ke arah mangsa. FOTO The Sun
KELIHATAN Cech menjiruskan sedikit asid ke arah mangsa. FOTO The Sun
Agensi

LONDON: Seorang bapa merancang serangan asid terhadap anak lelakinya berusia tiga tahun di sebuah kedai untuk membuktikan ibu kanak-kanak berkenaan tidak mampu menjaganya dengan selamat ketika berebut hak penjagaan mangsa, dalam kejadian yang dirakam kamera keselamatan premis itu.

Mangsa yang tidak didedahkan identitinya mengalami lecuran teruk pada wajah serta lengannya, malah didengar menjerit ‘saya sakit!’ berulang kali selepas disimbah asid di kedai Home Bargains, Worcester pada 21 Julai tahun lalu, lapor BBC.

Rakaman kejadian berkenaan ditunjukkan kepada juri ketika perbicaraan terhadap bapa berusia 40 tahun itu di Mahkamah Crown Worcester, atas tuduhan bersubahat mencederakan kanak-kanak itu menggunakan asid, susulan perebutan hak penjagaannya dengan ibu mangsa.

Kejadian hanya mengambil masa beberapa saat ketika mangsa bersama abangnya melihat bola plastik di ruang permainan kedai berkenaan, lapor The Sun sebelum dihampiri rakan bapanya Adam Cech yang selamba menjiruskan sedikit asid ke arah mangsa.

Tertuduh dipercayai melantik lima lagi rakan selain Cech untuk mewujudkan bukti menunjukkan kononnya bekas isterinya tidak dapat menjaga anak mereka dengan selamat dan baik. Enam rakan terbabit berusia antara 22 hingga 42 tahun juga didakwa atas tuduhan sama. Semuanya mengaku tidak bersalah.

KEDAI Home Bargains di Worcester, England. FOTO The Sun
KEDAI Home Bargains di Worcester, England. FOTO The Sun

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 10:01 PM