LIPAN yang dikeluarkan dari telinga wanita berkenaan. FOTO/Daily Mail
LIPAN yang dikeluarkan dari telinga wanita berkenaan. FOTO/Daily Mail
Agensi

TAIPEI: Seorang wanita mengadu rasa tidak selesa dalam telinganya terkejut apabila diberitahu ia sebenarnya lipan hidup.

Wanita berusia 52 tahun itu mendapat rawatan di hospital di Chiayi, barat daya Taiwan, beberapa hari lalu selepas merasakan sesuatu tidak kena di dalam telinganya, lapor media tempatan.

United Daily News melaporkan, wanita itu mengadu merasa seolah-olah ada sesuatu merayap di dalam telinganya.

Menurut Daily Mail, doktor terkejut mendapati lipan sepanjang 10 sentimeter (cm) itu ‘selesa’ di dalam telinganya dan terus mengeluarkannya menggunakan penyepit.

Doktor yang merawatnya, Dr Xu Zhengming ketika mengesahkan perkara itu berkata, semburan bius digunakan untuk memastikan haiwan itu tidak menyengat sebelum mengeluarkannya.

Katanya, telinga dan pendengaran wanita terbabit tidak terjejas kerana dia begitu pantas mendapat rawatan.

April lalu, Xu turut merawat seorang pesakit wanita berusia 47 tahun yang mempunyai kutu melekat pada gegendang telinganya, dipercayai dipindahkan dari anjing peliharaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 4:31 PM